Thursday 27 November 2014

Pesanan buat bakal peserta PLKN

  [7 perkara tentang PLKN]

Segala puji bagi Allah Taala dan Selawat dan Salam ke atas junjungan Baginda Sallahualaihi wasallam.

Saya telah diminta oleh sahabat saya , Ahmad Naqiuddin Husin untuk membuat penulisan ringkas tentang pengalaman di PLKN 2014. Semoga penulisan ini menjadi kebaikan kepada semua bakal para pelatih dan jurulatih sama ada lepasan sekolah atau sudah bekerja, bersekolah agama mahupun sekolah biasa. 7 perkara  yang ditulis ini dikutip berdasarkan pengalaman diri ini.
 Saya akui, setiap kem mempunyai cerita berbeza dan pengalaman berbeda. Sebarang komentar membangun dapat dikemukakan untuk perhatian saya dalam usaha memperbaiki diri ini.

1. Perkhabaran

"Tahniah, anda terpillih…"
Adatnya, ramai para peserta akan cuba mengelak daripada menyertai PLKN. Adalah disarankan kepada mereka yang 'terpilih' atau dipilih ini untuk melaporkan diri pada panggilan pertama supaya tidak perlu mengikuti program ini secara paksa-rela dalam masa mendatang.

 Mungkin setelah menjangkau usia pertengahan 20-an. Pujuklah hati supaya tidak memandang PLKN sebagai kurungan yang tiada kebaikan. Fikiran kita adalah cerminan diri sendiri. Adanya para peserta yang gembira dan bersyukur kerana dapat ke PLKN.

“3 bulan aku di sini, sekurang-kurangnya aku dapat jauh daripada bunyi motor dan melepak dengan kawan-kawan setiap malam”

2. Rutin

Di sini, binalah rutin harian yang baik kerana situasi dan keadaan sekeliling yang membantu. Contoh, jika dahulunya solat subuh di hujung waktu, di sini pelatih akan bangun pagi sebelum subuh dan kamu mampu!

 Ini kerana pelatih berasa takut dan harap. Takut kepada jurulatih dan berharap menjadi company terbaik. Seharusnya pemuda mempunyai rasa takut dan harap yang tinggi kepada Allah Taala mengatasi perkara lain. Jadi, hormatilah mereka dengan tidak mengecualikan ketaatan dalam agama.

Seharian di PLKN seperti sehari di sekolah menengah berasrama. *atau lebih kurang* aktiviti-aktiviti yang dijalankan akan dimaklumkan di kem masing-masing kelak. Jadi, jangan terlalu bimbang. Anak puan selamat di sana.

3. Watak

Semua orang mempunyai watak yang berbeza tetapi seperkara yang sama di antara umat islam ialah agama. Hidupkanlah roh agama dalam kehidupan seharian dengan taat perintah Allah dengan cara Nabi Muhammad Sallahualaihi Wasallam.

 Watak seorang muslim dikagumi. Jagalah adab dan akhlak walaupun sekecil-kecil perkara.
Antaranya ialah tidak bercakap ketika azan dilaungkan, duduk ketika makan dan minum, menutup aurat bagi lelaki mahupun wanita. Jangan risau, jurulatih dan kawan-kawan akan memahami dan menghormati diri kamu, insyaAllah.

4. Muslim dan Non-Muslim.

Kami bekerjasama dengan baik selama di sana.  Ke atas kita untuk terang sebelum kita serang . Berbicaralah dengan kawan-kawan di sana dengan niat berkongsi ilmu dan menyampaikan apa yang kita tahu walaupun cuma sepotong ayat. Ini dapat memberi manfaat yang besar dalam waktu yang mendatang.

Antara perkara yang meninggalkan kesan kepada diri ini ialah dialog dengan rakan non-muslim. Kisah yang kami bualkan ialah cara pengurusan jenazah mengikut agama dan kisah para nabi. Cerita sebegini kita biasa dengar sejak zaman sekolah rendah lagi.

 Cumanya, tinggallah mengeluarkan kembali untuk menggembirakan saudara islam kita dan menyampaikan kepada rakan-rakan yang lain.
“Baru saya tahu perkara ini. Sebelum ini, tiada saya nak cerita kepada saya.”

5. Kemahiran.

Banyak kemahiran yang boleh diasah di sini kerana kita dikumpulkan dengan rakan yang mempunyai ragam dan kecenderungan masing-masing. Ini merupakan satu berita gembira dan kamu perlu mencarinya di sana.

Antara perkara yang disarankan orang a’lim ialah memperbaiki bacaan alQuran. Ini merupakan satu perkara yang mustahak. Sama-samalah kita belajar dan mengajar alQuran kepada orang lain dengan melazimkan membaca dan mendengar 10 surah terakhir dalam alQuran.

Janganlah malu kerana tidak mampu membaca, sebaliknya, sentiasalah bersama-sama rakan yang dipercayai untuk belajar alQuran daripada mereka. Alangkah gembiranya apabila wira dapat mengimami keluarga dan isteri, wirawati dapat mengajar  anak kalian alQuran kelak.

“jadilah seperti perigi mencari timba kerana apa yang kita miliki sekarang takkan kekal buat selamanya melainkan dengan apa yang kite laburkan(berikan).”


6. Orang Kepercayaan.

Sebahagian daripada kamu akan menjadi orang kepercayaan di sana. Baik di barisan hadapan kepimpinan atau pun tidak. Ataupun, kalian akan berada di bawah kepimpinan seseorang.

Pertama, mohon ampun kepada Allah Taala atas kelemahan diri kita ini. Kedua, lazimlah berbincang dengan baik atas sesuatu perkara. Ketiga, lakukanlah sebarang gerak kerja dengan habis baik. Keempat, janganlah berpecah atas perkara yang remeh. Kelima, rujuklah orang yang berkelayakan untuk sebarang masalah.

Pandanglah rakan di sana sebagai jiran, rakan sekerja, guru anak kamu atau sebagainya. Inilah gambaran awal bagaimanakah keadaan yang akan ditempuhi apabila sudah dewasa. Dalam kepimpinan, adakala kita akan berasa lemah. Sesungguhnya, berputus-asa itu bukanlah sifat seorang yang beriman. Carilah kawan-kawan yang dapat memberi sokongan dan dorongan.

7. Kesan.

Pemuda sekalian, kehidupan zaman sekolah telah tamat. Di sini, kita akan menilai siapa diri kita sebenarnya dan kita akan membuat keputusan untuk menjadi insan yang bagaimana. Ini akan dapat dilihat kurang 24jam sebelum kamu keluar pagar pulang ke rumah setelah tamat latihan.

Walau siapa pun kalian, jadilah orang yang beriman kepada Allah. Seorang pengawal yang berakhlak mulia lebih baik daripada majikan yang berkata nista(cela). Menjadi kegembiraan buat kami apabila melihat jurulatih dan pelatih sama-sama dapat mengimarahkan surau setelah selesai tugas.

Teruskanlah dengan kebiasaan yang baik dan tinggalkanlah perkara sedia maklum salah. Sama-samalah kita semak diri kita dari masa ke semasa. Moga bahangnya terasa di pipi-pipi kamu.

Setiap umat manusia layak dan berpotensi untuk mendapat kehidupan yang lebih baik. Berjaya di dunia dan kemenangan di akhirat. Sebagai cadangan, sedialah diri kamu sebelum ke sana dengan pembacaan tentang kisah para nabi atau kehidupan para sahabat.Lazimilah dampingi guru-guru kamu untuk meminta mutiara nasihat daripada mereka.

Moga Allah mempermudahkan urusan kamu.
Selawat dan Salam ke atas Baginda Sallahu alaihi wasallam.

MOHAMMAD ALIF NAUFAL BIN ZAMRI*
15/09/2014
SERI KEMBANGAN, SELANGOR.

* kini beliau sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk , Jordan dalam bidang Bahasa Arab. Sama2 doakan beliau..amin...insyaAllah..


No comments:

Post a Comment